PENGENALAN
Felda Palong Timur 2, sebuah kampong atau lebih dikenali sebagai sebuah Tanah Rancangan Felda yang terletak nun jauh di Utara Johor dan bersempadanan dengan Negeri Sembilan. Jarak dengan Negeri Sembilan adalah terlalu hampir yang hanya memakan masa sekitar kurang 10 minit dari Palong Timur.
Kampong yang sangat terpencil pada fikiran kita yang belum pernah sampai kesini. Bagi mereka yang pernah sampai di bumi bertuah ini, ucapan yang kerap kali dibicarakan “jauhnya hendak ke sini”… Biarpun apa kata mereka, Felda Palong Timur adalah bumi bertuah bagi kami semua peneroka di sini…
Felda Palong Timur 2 terletak di kawasan DUN Buloh Kasap dan Parlimen Segamat. Bandarnya ialah Bandar Segamat dan bermukimkan Mukim Gemas. Manakala pekan yang berhampiran ialah Pekan Batu Anam iaitu sejauh lebih kurang 24 kilometer dari Felda Palong Timur 02.
Felda Palong Timur 2 terbahagi kepada dua peringkat iaitu Peringkat 1 dan 2. Bilangan keluarga peneroka di sini ialah seramai 271 buah keluarga. 177 buah keluarga ditempatkan di peringkat 1 dari Blok 1 hingga Blok 8. Manakala Peringkat 2 dari Blok 9 hingga 12 seramai 94 buah keluarga peneroka.
